Friday, June 01, 2007

Jangan Pandang Belakang...

Pada minggu yang lepas, Hamba telah berpeluang untuk menonton sebuah cerita seram arahan Ahmad Idham - Jangan Pandang Belakang. Sejak kebelakangan ini, banyak filem-filem seram arahan direktor Malaysia telah di pertontonkan di pawagam. Apa yang menarik tentang filem-filem tersebut ialah ia banyak menceritakan tentang perkara-perkara yang dianggap tabu ataupun tahyul semata-matanya. Cerita Jangan Pandang Belakang mungkin boleh diamati oleh kebanyakkan masyarakat Melayu kita kerana masyarakat kita masih percaya tentang perkara-perkara tahyul. Lazimnya masyarakat muda pula menganggap cerita ini adalah dongeng semata-mata.

Hamba dan kawan-kawan hamba - Weiliang, Scott, Fadhil dan termasuk Hamba telah menonton cerita tesebut disebuah pawagam berdekatan. Pada pendapat kawan-kawan hamba yang berbangsa Tionghua, cerita tersebut tidak menyeramkan malah ia tidak masuk akal. Mungking kerana cerita tersebut banyak diunsurkan dengan perkara-perkara yang lazimnya dipraktikan atau dipercayai oleh masyarakat Melayu kita seperti Tok Bomoh, jampi serapah, pengunaan ayat Al-Quran dan lain lain lagi.

Pada pandangan Hamba pula, Hamba rasa cerita tersebut boleh dikatakan agak menyeramkan walaupun jalan ceritanya kurang "Ommph". Mengapa Hamba kata begitu? Selalunya perkara-perkara seperti dirasuk mahluk halus hangat diperbincangkan walaupun kita jarang mendengarinya. Golongan orang-orang tua memang percaya akan perkara-perkara seperti rasuk ini tidak terkecuali Hamba. Hamba memang pernah menghadiri sesi dimana seorang pesakit yang dirasuk mahluk halus diubati oleh seorang Ustaz. Tidak dinafikan pada mulanya Hamba tidak mempercayai perkara-perkara tahyul seperti ini. Permikiran Hamba selalunya berlandaskan dengan kejadian saintifik. Hamba percaya setiap perkara yang berlaku seharusnya boleh diubati dengan ubat-ubatan yang moden. Seperti rasuk, hamba rasa ia adalah seperti penyakit jiwa ataupun penyakit mental tetapi sebaliknya tidak. Para doktor selalunya mengaitkan penyakit rasuk dengan penyakit mental tetapi demi etika kerjaya mereka, mereka tidak boleh mengatakan bahawa penyakit rasuk itu wujud.

Pada sepengetahuan Hamba, penyakit rasuk seperti jalan cerita Jangan Pandang Belakang memang agak payah diubati. Hamba memang tidak tahu-menahu apa yang dialami atau dilihat oleh pesakit-pesakit rasuk. Setelah menonton cerita Jangan Pandang Belakang, boleh dikatakan Hamba agak tahu-menahu apa yang dialami oleh golongan ini. Malah Hamba mempunyai dua sepupu perempuan yang pernah mengalaminya. Seorang sepupu Hamba yang berbangsa Tionghua mengaliminya semasa beliau berkhemah dengan rakan-rakan maktab rendahnya. Sekembalinya beliau dari perkhemahannya, dia selalu dihantui oleh lembaga yang menakutkan. Kadang-kala beliau menjerit tidak tentu pasal dan semasa beliau tidur, beliau akan mengalami sesak nafas seperti ada orang menghempapnya. Keluarga beliau agak khuatir dengan tingkah-lakunya. Bapanya fikir sepupu Hamba mengalami tekanan jiwa tetapi para doktor mengesahkan beliau tidak apa-apa. Nenek Hamba pula mencadangkan sepupu Hamba berjumpa dengan seorang paderi. Selepas beliau berjumpa dengan paderi, kehidupan sepupu Hamba kembali kepada asalnya.

Nasib tidak menyebelahi sepupu perempuan Hamba yang berbangsa Melayu pula. Beliau boleh dikatakan seorang yang bijak dan selalu sahaja memenangi peraduan sejak di bangku sekolah lagi. Namun sejak kecil lagi beliau selalu diganggu oleh mahluk halus. Makcik Hamba menganggap itu adalah hanya imaginasi sepupu Hamba. Tetapi malangnya tidak malah kejadian rasuk itu menjadi-jadi hinggakan kesemua ahli keluarganya terbabit. Sehingga sekarang mereka masih dihantui dengan kejadian-kejadian aneh. Mungkin kejadian yang akan Hamba ceritakan agak lucu dan mungking is amat menakutkan. Ada suatu ketika itu, iaitu pada tahun lepas, sepupu hamba telah memberi tuisyen kepada 2 adik sepupu hamba yang masih di sekolah rendah. Semasa beliau sedang mengajar beliau tersentak apabila beliau melihat mahluk yang dipanggil Pontianak 'berterbangan' di luar tingkap. Memang boleh dikatakan sepupu Hamba selalu sahaja terserempak dengan mahluk tersebut. Malah mahluk itu memasuki rumah tersebut dan 'berlonjak-lonjak' diatas katil semasa makcik Hamba sedang mengemas katil tersebut!!! Ini semua berlaku pada waktu petang. Makcik Hamba berasa agak pelik kenapa sepupu Hamba merenung katilnya di bilik itu. Makcik Hamba memang tahu tentang 'penyakit' yang dialami oleh sepupu Hamba. Sepupu Hamba mula berasa kurang selesa dan mahu memberitahu makcik Hamba. Makcik Hamba pula memang seorang yang penakut dan sebelum sempat sepupu Hamba memberitahu apa yang dilihatnya, makcik Hamba menyuruh beliau diam dan jangan berkata apa-apa yang dilihatnya kerana takut. Sepupu Hamba meneruskan sesi tuisyen dengan perasaan gelisah. Apabila beliau selesai dengan sesi tuisyennya dan pulang ke rumah, makcik Hamba menelefon ibu sepupu Hamba tentang apa yang berlaku. Tanpa pengetahuan makcik Hamba, sepupu Hamba telah memberitahu apa yang dilihatnya semasa sesi tuisyen tersebut kepada 2 adik sepupu Hamba. Selalunya anak-anak kecil tidak akan bercakap bohong lalu salah seorang adik sepupu Hamba telah memberitahu ibunya apa yang diberitahu oleh sepupu Hamba itu. Beliau berkata semasa makcik Hamba mengemas katil, mahluk itu telah melonjak-lonjak di atas katil, ketika makcik Hamba sedang memasak, mahluk itu berdiri disampingnya dan merenungnya ketika beliau sedang memasak. Bukan itu sahaja, ketika makcik Hamba masuk ke tandas, mahluk itu mengikutinya sekali!!! Selalunya sepupu Hamba akan berdiam-diri jika beliau terserempak dengan perkara-perkara yang aneh kerana tidak mahu menakutkan ahli keluarga yang lain terutama sekali anak-anak yang masih kecil.

Semasa beliau berubat dengan seorang Ustaz, Hamba dan ayah Hamba telah berpeluang menyaksikannya. Suasana ketika itu memang agak menyeramkan. Hamba memang tidak pernah melihat perkara-perkara yang aneh sebelum itu. Ketika sesi perubatan dilakukan, objek-objek dirumahnya dilontar ke arah kami tanpa sesiapa yang melontarnya. Sepupu Hamba menjerit ketika dilafazkan dengan ayat-ayat Al-Quran. Kata-kata yang diucapkan oleh sepupu Hamba memang tidak memasuki akal. Kata-katanya boleh dikatakan amat kesat lagi menakutkan. Beliau mengujar bahawa datuk moyang Hamba telah melakukan sesuatu yang membuat mahluk itu naik berang sehingga kini. Ustaz itu berkata ini mungkin adalah pusaka datuk moyang Hamba sejak turun menurun lagi dan memang payah jika mahluk ini adalah pusaka keluarga. Malah mahluk ini telah pun memilih anggota keluarga yang baru. Sejak kebelakangan ini keluarga pakcik Hamba yang menetap di Brunei telah mengalami kejadian-kejadian aneh. Anak-anak beliau yang masih kecil selalu sahaja memberitahu beliau bahawa seorang perempuan tua selalu bertenggek di jendela. Hamba memang agak khuatir jika mahluk ini memilih salah seorang anggota keluarga Hamba untuk didampinginya. Tapi Hamba harap dan berdoa ia tidak akan berlaku.

Sememangnya umat Islam tidak digalakkan untuk mempercayai kepada benda-benda tahyul seperti hantu dan sebagainya. Hantu-hantu memang sebenarnya adalah mahluk jin yang juga diciptakan oleh Allah s.w.t. Namun kerana masyarakat Melayu memang 'berpegang teguh' dengan mempercayai adanya benda-benda tahyul sejak zaman azali lagi dengan sedemikian ia terbawa-bawa ke zaman hari ini. Mungkin anak-anak sekarang tidak lagi mendengar atau mempercayai kepada kejadian rasuk malah ia dianggap sebagai kepercayaan kuno. Tetapi bagi Hamba kejadian seperti ini sememangnya wujud. Bukan masyarakat Melayu sahaja yang mempercayai akan kewujudannya malah masyarakat Tionhua, Inggeris dan lain-lain lagi. Cuma ia berlaku kepada orang yang tertentu sahaja yang dikendaki Allah s.w.t.

Mungkin ia adalah sebagai pengajaran bahawa kita tidak seharusnya takut kepada sesiapa melainkan Allah s.w.t.



*Sebenarnya Hamba hendak memaparkan poster cerita Jangan Pandang Belakang didalam warkah ini, tetapi Hamba tidak berani dan tidah mahu mengalami mimpi buruk*

No comments: